Program Seikhlas Wakaf, Seindah Ramadan telah berlangsung dengan penuh keberkatan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM, bersempena dengan Iftar Perdana Peringkat USIM 2025. Acara ini merupakan anjuran bersama ASNB Wakalah Sdn. Bhd., Pusat Wakaf dan Zakat, serta Pusat Islam USIM dengan matlamat mengeratkan ukhuwah dan menyemarakkan semangat bersedekah di bulan Ramadan.
Lebih 1,000 pek juadah iftar telah disediakan hasil sumbangan para penyumbang yang budiman. Edaran kupon bermula sejurus selepas Solat Asar, dengan kehadiran warga USIM yang begitu menggalakkan. Suasana penuh harmoni dan kesyukuran menyelubungi majlis ketika para hadirin menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama.
Majlis turut diserikan dengan Ceramah Khas Ramadan yang disampaikan oleh YBrs. Ustaz Harryanto Rizal Rokman, dengan bimbingan moderator YBrs. Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud. Sesi ini bukan sahaja memberi pengisian rohani, tetapi juga mengingatkan tentang keutamaan bersedekah dan berwakaf sebagai amalan yang membawa keberkatan di dunia dan akhirat.
Selepas solat fardu Maghrib, hadirin berpeluang menunaikan Solat Tarawih berjemaah yang dipimpin oleh YBrs. Dr. Norazman bin Alias, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Suara lunak imam mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran menambahkan lagi kekhusyukan ibadah pada malam yang penuh kemuliaan ini.
Penganjuran program ini diharap dapat menyemarakkan lagi budaya memberi dan berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat, selaras dengan konsep wakaf yang mengalirkan manfaat berpanjangan. Semoga usaha ini diberkati dan terus menjadi inspirasi dalam menyuburkan nilai-nilai Islam di bulan yang mulia ini.


