Buat julung kalinya, Dewan Utama Fakulti Pengajian Bahasa Utama menjadi tumpuan para pencinta ilmu tasawuf apabila Muktamar Sufi Kebangsaan 2024 membuka tirainya pada 23 November dan 24 November yang lalu.
Sejak dahulu, tasawuf telah menjadi landasan penting bagi memahami hakikat kehidupan dan tujuan penciptaan berpandukan ajaran al-Quran dan Sunnah. Oleh itu, anjuran bersama Pusat Islam dengan Jabatan Mufti Negeri Sembilan, dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan telah membuka sebuah dimensi baharu dalam mempelajari ilmu tasawuf dimana ia menampilkan barisan pembentang berpengalaman serta topik perbincangan yang menarik dan relevan.
Program yang berlangsung selama dua hari ini mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat, tidak hanya terhad kepada warga USIM sahaja. Dengan tema “Tasawuf Teras Pembangunan Masyarakat Madani”, program ini tidak hanya membincangkan pengamalan ilmu tasawuf muktabar di Malaysia, tetapi turut menyingkap peranan tasawuf di peringkat antarabangsa. Lebih istimewa, peranan wanita dalam membentuk generasi dan tamadun berlandaskan tasawuf turut menjadi fokus utama perbincangan.
Sebagai tanda penghargaan kepada para peserta, pihak penganjur menyediakan cenderahati eksklusif daripada Jabatan Mufti untuk 300 orang peserta terawal. Selain itu, peserta turut dijamu dengan sarapan pagi dan makan tengahari sepanjang program berlangsung. Semua peserta turut menerima sijil penyertaan rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Sembilan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam menimba ilmu dan pembangunan rohani.
Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar dan menerima maklum balas yang amat positif daripada para peserta. Semoga inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar dapat menjadi pemangkin untuk membentuk masyarakat madani yang berteraskan nilai-nilai tasawuf yang luhur.