NILAI – Sempena Hari Nuzul Quran, pihak Pusat Islam USIM telah mengajurkan Majlis Khatam Al-Quran peringkat USIM bersempena Hari Nuzul Quran pada 28 Mac 2024 yang diadakan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM).
Program ini turut diraikan oleh lebih 300 peserta yang terdiri daripada pensyarah, pelajar dan warga orang kurang upaya pekak. Sepanjang majlis berlansung, alunan bacaan ayat suci Al-Quran memenuhi ruang Kompleks Islam turut membuktikan bahawa kesungguhan warga USIM dalam menghidupkan budaya membaca Al-Quran. Pusat Islam turut memeriahkan majlis dengan pameran Sirah Nabi, kaunter Bank Islam, dan kaunter Zakat Fitrah, memperkayakan majlis tersebut dengan unsur pendidikan dan penghayatan amalan islam.
Sesi tadarus berkumpulan dipimpin oleh Dr. Anuar Hasin, Johan Qari Negeri Perak yang juga Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunah USIM, disertai oleh staf dan pelajar USIM serta orang awam. Setiap peserta diberikan masa 1 jam untuk menghabiskan 1 juzuk al-Quran.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk semua program yang dijalankan sepanjang Ramadan. Semoga majlis pengukuhan Al-Quran ini dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang.