Sejak zaman Rasulullah SAW, masjid dan surau berfungsi sebagai pusat integrasi masyarakat dan penyebaran ilmu bagi membentuk komuniti yang harmoni dan berilmu. Pusat Islam memainkan peranan sebagai penggerak program keagamaan telah mengadakan program selepas Maghrib seperti kuliah Maghrib, bacaan Surah Al-Kahfi, Surah Yasin dan Surah Al-Waqiah serta qasidah bagi mengisi masa sebelum tiba waktu solat Isyak.
Kuliah maghrib merupakan sebuah majlis pengajian hadis 40 Al-Imam an-Nawawi yang berfokus kepada warga USIM dan sekitar khususnya para pelajar dan staf USIM. Tujuan majlis ini dianjurkan adalah bagi memberi pendedahan dan mengukuhkan kefahaman para hadirin tentang hadis-hadis yang menjadi prinsip-prinsip asas agama. la menampilkan para asatizah yang berpengalaman seperti Dr. Hafiz Saleh, Dr. Zulhilmi Mohamed Nor, Ustaz Walid, Dr. Syed Najihuddin dan Dr. Amiruddin Sobali. Program yang dianjurkan oleh Pusat Islam USIM ini, berlangsung setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu di Kompleks Islam Tuanku Muhriz.
Bacaan Surah Al-Kahfi berlangsung pada hari Rabu, bacaan Surah Yasin pada hari Jumaat manakala bacaan Surah Al-Waqiah diadakan pada setiap hari Sabtu selepas waktu solat maghrib.
Bagi sesiapa yang berminat untuk berqasidah bersama-sama boleh hadir di Kompleks Islam Tuanku Muhriz. Alunan qasidah dan selawat yang disertai lirik penuh pujian dan doa menggamit kerinduan serta kecintaan kepada Baginda Nabi SAW yang bersarang di dalam hati. Oleh itu, Pusat Islam turut mengadakan program qasidah dan selawat pada setiap hari Ahad yang dipimpin oleh kumpulan Soutul Muazzin.
Besar harapan Pusat Islam agar program yang dianjurkan ini dapat menarik minat orang ramai sekaligus memperkukuhkan ikatan ukhuwah dan menambah keinsafan serta cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Semoga program seperti ini dapat terus dilaksanakan di masa yang akan datang.