27 Februari – Alhamdulillah, Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia dengan berbesar hati menyambut kehadiran YB Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam program Kembara Ramadan di kampus Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.
Majlis berbuka puasa yang menghimpunkan lebih 2,500 pelajar dan warga kampus ini berlangsung dalam suasana barakah dan kebersamaan. Tradisi berbuka secara makan di dalam talam diteruskan sebagai simbol sunnah, kesederhanaan dan ukhuwah dengan juadah yang menyelerakan. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas dan pihak yang bertungkus-lumus menyediakan hidangan buat para tetamu dan mahasiswa.
Dalam kesempatan ini, YB Menteri turut merasmikan Dapur Siswa Madani USIM, satu inisiatif kebajikan yang insya-Allah menjadi pemangkin sokongan kepada pelajar yang memerlukan, khususnya dalam memenuhi keperluan makan dan minum harian. Turut berterima kasih atas peruntukan oleh pihak kerajaan untuk operasi Dapur Siswa.
Usai solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah, kami juga menyediakan moreh sebanyak 1000 pax untuk para jemaah. Terima kasih juga pada Alumni USIM yang menaja salah satu juadah moreh.
Semoga Ramadan 1447H terus menyatukan kita dalam semangat kasih sayang, kebersamaan dan ukhuwah yang utuh.