23 Januari – Pada pagi Jumaat ini, Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM menjadi saksi kepada berlangsungnya Forum Perdana Israk Mikraj yang menghimpunkan warga kampus dan masyarakat setempat dalam satu majlis ilmu.
Program dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan kehadiran Naib Canselor USIM, Timbalan Naib Canselor bersama para warga kampus yang hadir dengan satu niat yang sama mencari pengisian rohani dan kefahaman mendalam tentang peristiwa Israk dan Mikraj, satu titik penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW.
Forum ini mengangkat tema “Rahsia Perjuangan Rasulullah SAW Membentuk Masyarakat Unggul”, yang membawa para hadirin menyelami hikmah di sebalik perjalanan agung Rasulullah SAW bukan sekadar sebagai peristiwa mukjizat, tetapi sebagai sumber kekuatan, kesabaran dan strategi dakwah dalam membina ummah.
Kupasan ilmiah oleh Prof. Madya Dr. Yasmin Hanani dan PU Salman Maslori telah membuka perspektif baharu kepada hadirin tentang pentingnya peristiwa israk dan mikraj dan tentang ibadah solat. Perbincangan yang dipandu dengan kemas oleh moderator, Zamratur Rahman, menjadikan forum ini interaktif dan mudah difahami oleh semua lapisan peserta.
Program ini turut dimeriahkan dengan 15 cabutan bertuah sebagai tanda penghargaan kepada para peserta yang setia mengikuti forum hingga ke akhir program.
Forum Perdana Israk Mikraj ini diharapkan dapat meninggalkan kesan mendalam dalam diri setiap peserta, agar semangat perjuangan Rasulullah SAW terus hidup dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian di kampus, di tempat kerja dan dalam masyarakat.
Semoga program seumpama ini terus menjadi medan penyubur ilmu, pengukuh iman dan pemangkin pembentukan insan rabbani.