Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan oleh Pusat Islam bagi meraikan bulan yang penuh keberkatan ini. Antara program yang saban tahun diadakan adalah solat Tarawih berjemaah di Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM. Program ini berlangsung setiap malam sepanjang Ramadan, bermula selepas solat Isyak. Turut disediakan juadah berbuka puasa dan moreh selepas Tarawih, menawarkan suasana harmoni untuk menikmati hidangan bersama-sama.
Solat Tarawih adalah amalan yang sangat digalakkan pada bulan mulia ini. Melalui setiap rakaat, kita meraih ganjaran besar dari Allah SWT sambil menghidupkan malam-malam Ramadan dengan penghayatan penuh keinsafan. Kita juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta mengukuhkan iman dalam keindahan ibadah.
Selain itu, program Tazkirah Ramadan turut diadakan selepas solat Zohor setiap hari. Sesi ini bertujuan menyemarakkan ilmu agama dengan pengisian rohani yang bermanfaat, memperingatkan para jemaah tentang kelebihan Ramadan serta panduan untuk mengoptimumkan amalan sepanjang bulan ini. Kehadiran penceramah jemputan yang berpengalaman menjadikan sesi tazkirah lebih menarik dan relevan dengan isu semasa.
Bagi memudahkan ibu bapa menunaikan solat Isyak dan Tarawih, Kidz Corner turut disediakan untuk anak-anak kecil. Ruang ini dilengkapi aktiviti interaktif seperti mewarna, permainan, dan tayangan video dan bercerita yang diawasi oleh fasilitator. Dengan adanya kemudahan ini, ibu bapa dapat beribadah dengan lebih khusyuk, manakala anak-anak turut mendapat manfaat rohani dalam suasana ceria.
Dengan sambutan yang menggalakkan, program ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat tetapi juga memberi peluang untuk memperkasa ibadah bersama-sama dalam suasana penuh kemuliaan. Moga program ini terus menjadi wadah yang mempertemukan kita di rumah Allah, menghidupkan malam-malam Ramadan dengan ibadah dan mengeratkan tali silaturahim sambil menikmati hidangan berbuka dan moreh.
Semoga program ini dapat diteruskan dan berkembang pada masa akan datang sebagai satu tradisi yang dinanti-nantikan setiap kali tiba bulan Ramadan. Dengan lebih ramai yang dapat turut serta pada tahun-tahun akan datang, kita semua dapat bersama-sama merasai nikmat keberkatan Ramadan.