Seni taranum adalah keindahan yang menyentuh hati dalam pembacaan Al-Quran, memberi nyawa kepada setiap ayat dengan nada yang syahdu dan penuh penghayatan. Taranum bukan sekadar irama bahkan ia adalah satu cara mengalunkan kalam Allah dengan lebih merdu dan khusyuk, menjadikan bacaan lebih bermakna dan menusuk jiwa. Seni ini kian mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia tanpa mengira usia atau jantina kerana taranum membawa ketenangan dan keindahan yang menyentuh halwa telinga.

Menyedari hal ini, Pusat Islam memperkenalkan Kelas Asas Taranum– satu peluang eksklusif bagi mempelajari seni taranum yang akan membimbing peserta memahami tujuh teknik asas taranum secara mendalam. Program ini akan diadakan setiap Sabtu, dari jam 10.00 pagi hingga 11.30 pagi, bertempat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, dengan bimbingan Ustazah Nadhrah binti Ahmad Marzuki, naib johan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Kebangsaan 2024.

Dengan bayaran hanya RM50, program ini terbuka kepada semua, manakala penyertaan adalah percuma bagi pelajar USIM. Ini adalah peluang yang tidak patut dilepaskan untuk mempelajari seni taranum dalam suasana yang kondusif dan bimbingan pakar. Ayuh, sertai kami dan hayati keindahan alunan taranum!