KUALA NERUS – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan antara 20 universiti awam yang menerima sumbangan Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin melalui Projek Hibah Mushaf yang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Dalam majlis penyerahan yang diadakan di kampus UMT, wakil pengurusan USIM, En. Razman bin Ibrahim yang juga Pengarah Pusat Islam hadir menerima mushaf berkenaan bagi pihak universiti.
Projek hibah tersebut melibatkan pencetakan sebanyak 5,000 naskhah mushaf Al-Quran untuk diagihkan kepada universiti awam di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh budaya membaca, memahami serta menghayati Al-Quran dalam kalangan warga kampus.
Sumbangan ini dilihat selari dengan aspirasi USIM sebagai sebuah universiti yang mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli dalam pembentukan generasi berilmu dan berakhlak. Mushaf yang diterima akan dimanfaatkan dalam pelbagai aktiviti pengimarahan Al-Quran serta program pembangunan sahsiah pelajar di kampus.
Pihak universiti merakamkan penghargaan kepada UMT atas inisiatif murni ini yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga universiti, malah turut menyumbang kepada usaha memperkasakan budaya Al-Quran dalam persekitaran institusi pengajian tinggi.
Diharapkan sumbangan mushaf ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pelajar dan warga kampus, seterusnya menjadi pemangkin kepada penghayatan Al-Quran secara lebih menyeluruh dalam kehidupan seharian.
