Kedatangan tahun baru sudah pasti bersama-sama dengan keazaman yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Sudah pasti setiap individu juga sesebuah organisasi berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih baik bagi peribadi lebih-lebih lagi kepada organisasi. Usaha ini selari dengan sabda Rasulullah S.A.W :
“ Seseungguhnya orang yang paling Berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari yang semalam. “ ( Riwayat Bukhari dan Muslim ).
Sudah menjadi tradisi rakyat Malaysia meyambut kehadiran tahun baru Masihi dengan pelbagai acara yang meriah, namun sejauh manakah pemahaman kita dengan asal usul tahun masihi ini.
Kalendar ini dikenali dengan calendar Gregorian atau Kalendar Julius kerana dicipta oleh Father Gregory dan kemudian ditambah baik oleh Julius. Sebahagian besar nama-nama bulan adalah merujuk kepada nama-nama dewa yang disembah oleh masyarakat Rom dahulu sebagai contoh bulan Januari adalah nama dewa Janus yang bermaksud dewa pintu. Dewa ini digambarkan dengan sebuah patung yang berwajah dua di mana satu wajah menghadap ke belakang dengan berwajah suram dan wajah menghadap ke hadapan dengan berwajah senyum menandakan optimis untuk memasuki tahun baru.
Kalendar Hijriyah pula semakin kurang mendapat perhatian sejak digunakan Kalendar Masihi dalam urusan-urusan kita seharian. Kalendar Hijriyah mula diperkenalkan pada zaman Khilafah Umar al-Khattab iaitu sebanyak 12 bulan selari dengan Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 36 :
“ Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram ”.
Muharram dari segi Bahasa berasal dari perkataan ‘ harama ‘ yang bermaksud terlarang, merujuk kepada salah satu dari empat bulan yang dilarang berperang oleh umat Islam seperti Firman Allah yang disebutkan tadi.
Bulan Rabi’ yang dua pula bermaksud musim bunga menandakan keindahan dan kecantikan, dan yang terpenting ialah kelahiran junjungan besar nabi kita di bulan ini.
Bulan Rejab yang beerti kemulian menjadi bulan Rasulullah mula menambahkan amalan sebagai persiapan menemui bulan yang mulia iaitu Ramadhan. Manakala Ramadhan pula bermaksud ‘ kepanasan ‘ yang boleh digambarkan sebagai kepanasan yang membakar segala dosa dengan amalan puasa selama sebulan.
Oleh itu, sempena masuknya tahun baru 2018 ini janganlah kita terikut-ikut dengan rentak sambutan tahun baru masyarakat bukan Muslim kerana tindakan kita mencerminkan identiti kita sebagai seorang Muslim. Sudah pasti masyarakat bukan islam tidak akan menyambut tahun baru Hijriyyah bersama-sama dengan kita, jadi mengapa kita perlu menyambut awal tahun baru Masihi bersama-sama mereka? Sabda Rasulullah S.A.W :
“ Barang siapa menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dari golongan mereka “ – Riwayat Ahmad
Mudah-mudahan tindakan kita dapat menjaga identiti dan sahsiah kita sebagai Muslim yang sebenar seperti yang dituntut oleh Islam.
Adaptasi dari teks Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Zainur Rijal bin Abd Razak, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah USIM
Disediakan oleh :
BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID
PUSAT ISLAM
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA
06-7980256