Kehidupan selepas ini, perjalanannya kompleks melalui beberapa fasa sebelum kita benar-benar tiba di destinasi penghujung yang ditetapkan.

Kubur.

Mahsyar.

Hisab.

Dan pelbagai fasa dan peringkat yang perlu dilalui setiap insan sepanjang proses tersebut.

Namun begitu, dengan rahmat-Nya, didedahkan tips yang pelbagai agar seseorang itu mendapatkan keistimewaan atau keringanan tertentu di mana-mana lokasi atau keadaan yang akan dihadapi di sana kelak.

Lakukan amalan sekian di dunia dengan ikhlas dan tepat di atas petunjuk, maka akan diringankan, dibantu, dilindungi ketika melalui fasa-fasa perjalanan di sana.

Pastinya mukmin yang cerdas akan berusaha merebut peluang-peluang ini agar sedikit sebanyak perjalanannya di akhirat nanti dipermudah.

Ini bukan satu penipuan licik, kerana tawaran ini datang jelas dariNya.

Antara tips yang hebat ditawarkan adalah perlindungan ketika di Mahsyar itu sendiri, tatkala jarak kita dan matahari hanya satu batu.

Malah bukan hanya satu jenis tips yang disarankan untuk dilakukan malah terdapat 7 sifat atau sikap yang jika dihayati dan dipraktis dalam kehidupan, nescaya kita terlindung dari kegusaran dan kekalutan alam mahsyar.

Dan di antara ke tujuh-tujuh golongan yang disebutkan, Nabi menyifatkan salah seorang dari mereka sebagai

‎وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالمَسَاجِدِ

“Seseorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid-masjid”

[HR al-Bukhari]

Semudah itu, hanya dengan hati yang terpaut dengan masjid; dijanjikan nikmat hebat yang bakal dicemburui ramai orang di padang Mahsyar itu nanti.

Pastinya, untuk menjadikan hati melekat mencintai masjid bukan sekadar simbolik perasaan semata-mata, ia adalah hasil aplikasi timbal balik dari interaksi dengan rumah-Nya itu.

Apakah lagi interaksi yang paling utama melibatkan masjid, selain dari melaksanakan solat berjemaah di awal waktu bersama imam?

Bagaimana hati akan terpaut hanya dengan dakwaan kosong di bibir tanpa sebarang usaha bersegera menyahut seruanNya dari corong pembesar suara yang saban waktu menyebut

حَيّ على الصّلاة

Marilah segera mendirikan solat!

حَيّ على الفَلاح

Marilah segera menuju kejayaan!?

Jangan dilihat remeh urusan ini. Jangan dipandang enteng tawaran sebegini.

Segeralah ke masjid!
__
Sumber teks ihsan dari: BroSyariefShares