Ibu bapa adalah warisan zuriat yang membawa kepada lahirnya kita ke dunia dan sebab itu agama Islam meletakkan ibu bapa di tempat yang tinggi dalam hubungan kekeluargaan bahkan digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan kamu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

(Surah al-Isra’ 17:23)

 

Hadith berikut pula jelas menunjukkan betapa tingginya kedudukan yang diberikan Islam kepada ibu bapa.

Hadith tersebut bermaksud:

Amal perbuatan yang amat disukai Allah swt ialah solat (yang tepat) pada waktunya, berbakti kepada orang tua dan berjihad pada jalan Allah.

(Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Muslim)

 

Berbuat baik atau taat kepada dua ibu bapa bermaksud menghormati dan melakukan pekerjaan yang disukai mereka dan pekerjaan yang dilakukan itu janganlah bersalahan dengan kehendak yang disuruh Allah SWT. Melakukan pekerjaan yang disukai kedua ibu bapa memang menjadi tanggungjawab besar bagi seseorang anak. Besarnya jasa ibu dan ayah memang tidak dapat dinilai sama sekali.

Pada masa anak masih dalam kandungannya, ibu telah menempuh pelbagai penderitaan dan kesusahan. Ibu dan ayah terpaksa berjaga siang dan malam untuk mengawasi dan membendung kesihatan anaknya yang masih kecil. Seorang ibu rela tidak tidur malam demi menjaga anaknya yang masih kecil darpada digigit nyamuk. Ibu dan bapa sanggup perut kosong selagi perut anak yang masih kecil itu masih belum berisi. Begitulah besarnya pengorbanan ibu dan bapa terhadap anaknya. Jadi tidak hairanlah jika Islam menitik beratkan soal berbuat baik dan menghormati kedua ibu bapa.

Islam mewajibkan anak menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya bukan saja ketika mereka masih hidup, malah selepas mereka meninggal dunia pun, amalan baik dan penghormatan itu wajib dikekalkan oleh anak-anaknya.

Disamping itu juga, kewajipan untuk anak-anak mentaati kedua ibu bapa diperkuatkan lagi dengan sepotong hadith yang diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud:

Apabila mati seseorang anak Adam, maka putuslah amalnya melainkan tiga perkara, (iaitu): sedekah jariah, ilmu bermanafaat kepada orang lain dan anak soleh yang mendoakannya.

(Hadith riwayat Muslim dan Ahmad)

 

Justeru, marilah kita terus berbuat baik terhadap ibu bapa kita (sekiranya mereka telah meninggal dunia) dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran dan mendoakannya.

Di antara doa yang boleh kita gunakan untuk mendoakan ibu bapa kita ialah:

  • Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan ibu bapaku dan rahmatilah serta sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi dan mengasihi aku di masa kecil. (Surah Al Israk: Ayat 25)
  • Ya Tuhan kami! Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat). (Surah Ibrahim: Ayat 41)

 

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda bermaksud:

Keredaan Allah bergantung kepada keredaan bapa dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan bapa.

(Hadis Riwayat: Imam Tarmizi)

Dari itu hormatilah ibu bapa sepanjang hayat di kandung badan. Lakukanlah perbuatan yang menyenangkan hati mereka semasa mereka masih hidup dan berdoalah kepada mereka setelah mereka meninggal dunia. Moga-moga dengan berbuat demikian hidup kita akan diberkati dan dirahmati Allah dan kita menjadi manusia yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Insya Allah.

 

Adaptasi dari teks Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh saudara Ahmad Munir bin Zanarudin, Mahasiswa Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM

Teks Ihsan dari: Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan

Disediakan oleh:

BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID

PUSAT ISLAM

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

06-7980256