NILAI- Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Program Maal Hijrah 1447H Peringkat USIM yang bertemakan “Membangun Ummah Madani” yang diadakan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Islam dengan kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat USIM bagi memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah yang mana peristiwa ini mencerminkan semangat perjuangan, pengorbanan, perpaduan, dan perubahan ke arah yang lebih baik dalam kehidupan seorang Muslim.
Pelbagai pengisian menarik yang diadakan ialah Bacaan Yasin dan Doa Akhir tahun 1446H, Bacaan doa awal tahun 1447H, penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah, Haflah Al-Quran Istimewa dan Ucapan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Dalam ucapan Timbalan Naib Canselor, Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah berkata sambutan maal hijrah bukan sahaja simbolik perubahan kepada kalendar tetapi menjadi ruang muhasabah memperbaharui tekad dan menyusun semula langkah bagi mebina kehidupan yang lebih bermaka.
“Tema sambutan tahun ini “Membangun Ummah Madani” Inspirasi yang bertepatan dengan aspirasi USIM sebagai universiti Islam yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli dalam memimpin perubahan masyarakat” ujarnya lagi.
Seterusnya majlis diteruskan dengan Anugerah Khas Maal Hijrah USIM yang merupakan anugerah yang diberikan bagi menghargai dan mengiktiraf warga USIM yang memiliki keperibadian dan ketokohon serta menyumbang kepada Universiti. Pemilihan tokoh adalah berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan dan penerima anugerah ini telah dipilih oleh Jawatankuasa Panel Pemilih Anugerah Khas Maal Hijrah USIM yang dianjurkan setiap kali sambutan Maal Hijrah.
Penerima Anugerah Khas Maal Hijrah USIM Kategori Kumpulan Akademik dianugerahkan kepada YBrs. Dr. Muhamad Firdaus Ab Rahman (Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang), Kategori Kumpulan Pengurusan dianugerahkan kepada Encik Mohd Zaini Othman (Penolong Pendaftar, Fakulti Pengajian Quran & Sunnah), Kategori Kumpulan Pelaksana, dianugerahkan kepada Encik Muhammad Shahrul Naim Mohd Tokiman (Pembantu Tadbir, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah) dan Anugerah Khas Maal Hijrah USIM Kategori Mahasiswa, dianugerahkan kepada Saudara Muhammad Firdaus bin Mohd Faisal (Mahasiswa, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan).
Tambahan pada tahun ini USIM berbesar hati untuk menyampaikan Anugerah Khas kepada Rakan Kolaborasi diberi nama Anugerah Khas Imtiyaz. Penganugerahan ini diberikan kepada Pusat Wakaf dan Zakat USIM dan Syarikat Map2u SDN BHD.
Majlis diakhiri dengan penampilan istimewa iaitu Haflah al-Quran iaitu dengan bacaan secara bertarannum oleh Qari dan disusuli dengan tadabbur ayat oleh seorang Pentadabbur yang dibacakan oleh Dr. Anuar Hasin, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran & Sunnah USIM dan Dr. Nidzamuddin Zakaria, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran & Sunnah USIM.
Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan program bermanfaat kepada warga USIM dan sekitar Negeri Sembilan. Semoga dengan penganjuran program ini dapat menambahkan lagi kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW.