Program tahunan yang dinanti-nantikan oleh ahli keluarga besar Pusat Islam kini kembali dengan penuh meriah! Karnival Sukan Adik-Beradik Pusat Islam, yang berlangsung selama empat hari, mendapat sambutan luar biasa daripada semua pihak. Pada kali ini, sebanyak lapan permainan outdoor dan indoor dipertandingkan di pelbagai lokasi termasuk Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Kompleks Sukan Tunku Najihah, Ultimate Sporthaus, dan Dreamtel Sports Complex di Nilai.
Karnival ini menyaksikan empat kontinjen — Staf dan Alumni ABPI, Sekretariat Pusat Islam, Rakan Siswa YADIM, dan Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia — berentap dengan penuh semangat untuk merebut gelaran juara. Meskipun kemenangan dan kekalahan adalah sebahagian daripada adat permainan, namun yang lebih bernilai adalah semangat kesukanan dan ukhuwah yang terjalin. Inilah objektif utama yang ingin disemai dalam setiap aktiviti dan program, memastikan silaturahim yang terbina terus erat selepas program berakhir.