Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’ ayat 35 :

“ Setiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kami lah kamu akan dikembalikan. “

Persoalannya,  Ketika itu, adakah sudah cukup bekal kita yang akan membantu kita menghadapi saat-saat getir di alam barzakh?

Alam barzakh merupakan persinggahan pertama menuju ke alam akhirat. Rasulullah SAW bersabda :

“ Sesungguhnya kubur ialah tempat persinggahan yang pertama alam akhirat, jika seseorang terselamat daripada azabnya, maka urusan selepas itu lebih mudah baginya, dan jika dia tidak terselamat daripada azabnya, maka urusannya selepas itu akan lebih sukar lagi ” – Riwayat at-Tirmidzi

Bagi menghadapi alam barzakh, apakah perancangan kita, apakah persiapan kita dan apakah bekalan kita nanti?

1.Bertaubat dan beristighfar.

Rasulullah SAW pernah memberi nasihat:

“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan Mu sebelum kamu mati. Segeralah untuk melakukan amal soleh sebelum masa kamu disibukkan dengan urusan dan pekerjaan.. ” (Hadith riwayat Ibnu Majah)

Sebagai manusia kita tidak sunyi melakukan kesalahan dan kesilapan. Kadang-kadang kita melakukan kesalahan tanpa disedari. Bolehlah diibaratkan seperti rumah, sekalipun tiada yang mengotorkannya, ia tetap berhabuk dan bersawang tanpa disedari. Justeru itu, dengan sentiasa bertaubat dan beristighfar dapat membersihkan kotoran dosa.

2.Mendirikan solat lima waktu sehari semalam dengan sempurna. Solat yang sempurna mampu mencegah kita daripada melakukan perkara keji dan mungkar serta menyelamatkan kita daripada kebinasaan di dunia ini.

Selain itu, harus kita ketahui bahawa solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Jika baik pelaksanaannya maka mudahlah perhitungan amalan soleh yang lain.

3.Memperbanyakkan amalan yang pahalanya tidak terputus dan berterusan sampai kepada kita, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.

Hal ini terangkum di dalam hadith Nabi SAW :

“Apabila mati seorang anak Adam itu, maka putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Hadith riwayat Muslim dan Ahmad)

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dengan mengingati kematian. Hal ini kerana, dengan mengingati mati itu boleh menjadikan kita zuhud terhadap dunia, menyedarkan kita supaya tidak leka dan lalai dengan isi dan perhiasannya serta boleh membersihkan hati kita daripada kekaratan dosa yang telah kita lakukan.

“Sesungguhnya hati ini berkarat sepertimana besi yang berkarat. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana untuk mengilatkannya? Baginda menjawab: Membaca al-Quran dan mengingati mati.” (Hadith riwayat al-Baihaqi)

Adaptasi dari teks Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Nik Muhammad Fadlan bin Nik Mahmood, Pembantu Hal Ehwal Islam USIM

Teks Ihsan dari : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Darul Khusus

Disediakan oleh :

BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID

PUSAT ISLAM

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

06-7980256