Author Archive MUHAMAD FITRI

ByMUHAMAD FITRI

Adakah kita sudah bersedia jika mati itu datang mengejut?

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’ ayat 35 :

“ Setiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kami lah kamu akan dikembalikan. “

Persoalannya,  Ketika itu, adakah sudah cukup bekal kita yang akan membantu kita menghadapi saat-saat getir di alam barzakh?

Alam barzakh merupakan persinggahan pertama menuju ke alam akhirat. Rasulullah SAW bersabda :

“ Sesungguhnya kubur ialah tempat persinggahan yang pertama alam akhirat, jika seseorang terselamat daripada azabnya, maka urusan selepas itu lebih mudah baginya, dan jika dia tidak terselamat daripada azabnya, maka urusannya selepas itu akan lebih sukar lagi ” – Riwayat at-Tirmidzi

Bagi menghadapi alam barzakh, apakah perancangan kita, apakah persiapan kita dan apakah bekalan kita nanti?

1.Bertaubat dan beristighfar.

Rasulullah SAW pernah memberi nasihat:

“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan Mu sebelum kamu mati. Segeralah untuk melakukan amal soleh sebelum masa kamu disibukkan dengan urusan dan pekerjaan.. ” (Hadith riwayat Ibnu Majah)

Sebagai manusia kita tidak sunyi melakukan kesalahan dan kesilapan. Kadang-kadang kita melakukan kesalahan tanpa disedari. Bolehlah diibaratkan seperti rumah, sekalipun tiada yang mengotorkannya, ia tetap berhabuk dan bersawang tanpa disedari. Justeru itu, dengan sentiasa bertaubat dan beristighfar dapat membersihkan kotoran dosa.

2.Mendirikan solat lima waktu sehari semalam dengan sempurna. Solat yang sempurna mampu mencegah kita daripada melakukan perkara keji dan mungkar serta menyelamatkan kita daripada kebinasaan di dunia ini.

Selain itu, harus kita ketahui bahawa solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Jika baik pelaksanaannya maka mudahlah perhitungan amalan soleh yang lain.

3.Memperbanyakkan amalan yang pahalanya tidak terputus dan berterusan sampai kepada kita, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.

Hal ini terangkum di dalam hadith Nabi SAW :

“Apabila mati seorang anak Adam itu, maka putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Hadith riwayat Muslim dan Ahmad)

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dengan mengingati kematian. Hal ini kerana, dengan mengingati mati itu boleh menjadikan kita zuhud terhadap dunia, menyedarkan kita supaya tidak leka dan lalai dengan isi dan perhiasannya serta boleh membersihkan hati kita daripada kekaratan dosa yang telah kita lakukan.

“Sesungguhnya hati ini berkarat sepertimana besi yang berkarat. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana untuk mengilatkannya? Baginda menjawab: Membaca al-Quran dan mengingati mati.” (Hadith riwayat al-Baihaqi)

Adaptasi dari teks Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Nik Muhammad Fadlan bin Nik Mahmood, Pembantu Hal Ehwal Islam USIM

Teks Ihsan dari : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Darul Khusus

Disediakan oleh :

BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID

PUSAT ISLAM

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

06-7980256

ByMUHAMAD FITRI

Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan

Tahun 2017 sudah berlalu membawa pergi pelbagai kesilapan, kealpaan, kekurangan dan kekhilafan sama ada terhadap Allah dan juga kepada sesama manusia. Ayuh sama-sama berusaha memperbaikinya di tahun baru 2018 ini insyaAllah.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Mukmin ayat 40 :

“ Sesiapa yang mengerjakan kejahatan maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya, dan sesiapa yang mengerjakan amal salih dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga serta beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung. “

Di sepanjang tahun 2017 juga, pastinya banyak pencapaian-pencapaian dan kejayaan samada berbentuk peribadi mahupun organisasi. Namun begitu, semestinya akan tertinggal beberapa impian dan harapan yang belum tercapai.

Langkah pertama yang perlu diambil ialah menuntut ilmu dan menguasainya. Apabila wujudnya ilmu di dalam dada, akan terhasil lah kesediaan untuk melakukan pengorbanan dan kesanggupan untuk bekerja keras mengejar impian dan harapan.

Kita semua memasuki fasa tahun 2018 dengan penuh harapan dan impian besar yang meliputi pelbagai aspek kehidupan. Walaupun azam tahun baharu setiap individu itu berbeza mengikut kehendak dan impian masing-masing, namun secara keseluruhannya impian dan harapan kita khususnya sebagai umat Islam berlegar dalam isu-isu berkaitan peningkatan kos sara hidup, pendidikan anak-anak, kerjaya, kesihatan, kebajikan dan kehidupan sosial.

Isu-isu ini sering menghantui kehidupan anggota masyarakat khususnya mereka yang mempunyai pendapatan yang rendah dan sederhana.

“Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab untuk meleraikan isu ini dan apakah yang perlu lakukan dalam menghadapi semua ini? Jawapnnya adalah kita sendiri. Ya! Kita sendiri yang perlu memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi kerana ini adalah masalah kita. Masalah kita, kitalah yang harus bangkit untuk menyelesaikannya bukan orang lain. Kita seringkali merungut tentang kenaikan mendadak barang-barang keperluan. Kita sering mengadu tentang beban gst terhadap perbelanjaan harian, kita sering bercerita tentang perbelanjaan yang sudah kehabisan meskipun baru di pertengahan bulan. Tapi kita masih menghabiskan masa untuk bersembang, masih lagi leka di panggung wayang, masih terus lena dibuai mimpi walau azan sudah berkumandang, masih berwasap, ber’ig’ dan ber FB sehingga larut malam. Jika ini tabiat dan amalan, masakan masalah boleh diselesaikan?”

Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Tidak ada penyakit yang tidak boleh disembuhkan. Tidak ada kepayahan yang tidak ada pengakhiran. Asal saja kita serius mencari penyelesaian.

Allah SWT berfirman:

فإن مع العسر يسرا إن مع العسر يسرا

“Maka Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangannya.

Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangannya.”

 

Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda:

(إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يُنْزِلْ دَاءً إِلا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً عَلِمَهُ مَنْ عَلِمَهُ وَجَهِلَهُ مَنْ جَهِلَهُ)

“Sesungguhnya Allah SWT tidak menurunkan penyakit kecuali diturunkan bersama penyakit itu

penawarnya yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya dan tidak diketahui oleh

orang yang tidak mengetahuinya”

Dari kedua-dua sumber wahyu tadi, kita dapat memahami bahawa segala permasalahan samada penyakit atau musibah, kepayahan dan kesulitan pastinya ada jalan keluarnya. Namun segalanya harus diusahakan. Sesudah berusaha, bertawakkallah kepada Allah. Jangan mudah berputus asa andainya usaha kita belum lagi menghasilkan apa yang kita inginkan. Terus berusaha dan berusaha.

InsyaAllah, penyelesaian pasti akan ditemui. Firman Allah SWT :

Maksudnya: “Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya”.

Adaptasi dari teks Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Dr. Nik Rahim bin Nik Wajis, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM

 

Disediakan oleh :

BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID

PUSAT ISLAM

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

06-7980256

ByMUHAMAD FITRI

Kejadian Gerhana bukan kerana kematian atau kelahiran seseorang

Gambar sumber dari : https://www.pwmu.co/50968/2018/01/gerhana-bulan-total-melewati-indonesia-pada-31-januari-2018/

Akhir-akhir ini kejadian gerhana semakin kerap berlaku sama ada gerhana bulan juga gerhana matahari. Kejadian ini boleh kita gambarkan sebagai perkara yang ajaib berlaku di muka bumi yang mana membuatkan akal kita yang sihat dan juga iman di dada tertanya-tanya apakah hikmah di sebalik kejadian ajaib ini dan apakah yang perlu kita sebagai Muslim lakukan.

Ada satu Hadis yang boleh kita jadikan panduan iaitu  Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata:

Pada masa Rasulullah saw. pernah terjadi gerhana matahari. Saat itu Rasulullah saw. melakukan solat gerhana, beliau berdiri sangat lama dan rukuk juga sangat lama, lalu mengangkat kepala dan berdiri lama, tapi tidak seperti lamanya berdiri pertama. Kemudian beliau rukuk lama, tapi tidak seperti lamanya rukuk pertama. Selanjutnya beliau sujud. Kemudian berdiri lama, namun tidak seperti lamanya berdiri pertama, rukuk cukup lama, namun tidak selama rukuk pertama, mengangkat kepala, lalu berdiri lama, tapi tidak seperti lamanya berdiri pertama, rukuk cukup lama, tapi tidak seperti lamanya rukuk pertama, lalu sujud dan selesai. Selepas selesai solat, matahari sudah nampak sempurna kembali. Beliau berkhutbah di hadapan kaum muslimin, memuji Allah dan menyanjung-Nya, dan bersabda: Sesungguhnya matahari dan rembulan itu termasuk tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya terjadi gerhana bukan kerana kematian atau kelahiran seseorang. Oleh sebab itu, jika kalian melihat keduanya gerhana, maka bertakbirlah, berdoalah kepada Allah, kerjakanlah solat dan bersedekahlah! Hai umat Muhammad, tidak seorang pun lebih cemburu daripada Allah, bila hambanya, lelaki maupun perempuan, berbuat zina. Hai umat Muhammad, demi Allah, seandainya kalian tahu apa yang kuketahui, tentu kalian banyak menangis dan sedikit tertawa. Ingatlah! Bukankah aku telah menyampaikan. (Shahih Muslim No.1499)

Suatu tanda-tanda kiamat.

Allah menjadikan gerhana adalah sebagai salah satu tanda kekuasaanNya sebagai yang Maha Berkuasa menjadikan segala perkara, dan juga sebagai tanda menunjukkan kita dunia kian hampir dengan kiamat.

Abu Musa ra berkata : Tatkala terjadi gerhana matahari di zaman Nabi saw., Baginda saw., bangkit terkejut, takut terjadi kiamat dan beliau terus menuju masjid. Beliau melakukan solat dengan rukuk dan sujud yang lama sekali. Tidak pernah aku melihatnya melakukan solat seperti itu.(Shahih Muslim No.1518)

Oleh itu, gerhana bukanlah baru berlaku bahkan sudah berlaku dari zaman Baginda lagi, dan Baginda mengajarkan kepada kita apabila berlakunya Gerhana maka hadirkanlah perasaan takut dalam diri dan terus menuju ke Masjid untuk bersama-sama jemaah yang lain bersolat, berzikir dan mengingati Allah di saat Dia menunjukkan tanda kekuasaanNya.

Kaifiat Solat sunat gerhana.

Di sini disertakan dua gambar yang diambil dari Jakim dan pksart tatacara solat sunat gerhana supaya dapat menjadi rujukan kita bersama.

 

Disediakan oleh :

BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID

PUSAT ISLAM

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

06-7980256


Sumber rujukan :

  • Shahih Muslim – Kitab Gerhana
  • Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
  • pksart/kabmagelang.pks.id
ByMUHAMAD FITRI

Doa Malaikat kepada mereka yang duduk di dalam Masjid

Di dalam satu Hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda :

 

فَإِذَا دَخَلَ الْمَسْجِدَ كَانَ فِي الصَّلَاةِ مَا كَانَتْ الصَّلَاةُ هِيَ تَحْبِسُهُ

وَالْمَلَائِكَةُ يُصَلُّونَ عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مَجْلِسِهِ الَّذِي صَلَّى فِيهِ يَقُولُونَ

اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ تُبْ عَلَيْهِ مَا لَمْ يُؤْذِ فِيهِ مَا لَمْ يُحْدِثْ فِيهِ

 

Jika seseorang telah masuk masjid,

maka dia dikira berada dalam solat selama ia meneruskan solatnya,

dan malaikat terus menerus mendoakan salah seorang diantara kamu

selama ia dalam tempat duduknya yang ia gunakan untuk solat, malaikat akan berdoa;

“Ya Allah, rahmatilah dia, Ya Allah, ampunilah dia, Ya Allah maafkanlah dia,”

selama ia tidak melakukan gangguan dan belum berhadas.

متفق عليه –

 

Disediakan oleh :

BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID

PUSAT ISLAM

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

06-7980256

ByMUHAMAD FITRI

Kunjungan Sheikh Salman Al-Nadwi Al-Husaini ke Kompleks Islam Tuanku Muhriz

Nilai , 25 Januari 2018 – Sempena lawatan dakwan Sheikh Salman al-Nadwi al-Husaini ke Malaysia, Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM telah menjadi satu lokasi persinggahan al-Fadhil Sheikh bersama dengan rombongan beliau.

Majlis bermula sekitar 9 malam selepas Solat Isya’ berjemaah yang turut dihadiri oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Nadwi.

Tajuk yang dibincangkan ialah mengenai Sejarah Hidup Pemikir Ulung : Syed Abu Hasan An-Nadwi dan Ciri-ciri Bukunya. Kehadiran Jemaah adalah sekitar 30 orang yang turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Islam, Dr. Khairul Anuar Mohamad.

Kompleks Islam Tuanku Muhriz Usim berasa bertuah kerana rombongan al-Fadhil Syeikh telah memilihnya sebagai salah satu lokasi kerja dakwah beliau. Semoga para jemaah semua mendapat manfaat bersama. Majlis bersurai sekitar jam 10.30 malam.

ByMUHAMAD FITRI

SRIKANDI ATIKAH BINTI ZAID

WANITA REBUTAN PARA SAHABAT

🌻 Merupakan menantu Saidina Abu Bakr RA, isteri kepada Abdullah bin Abu Bakr
🌻 Seorang yang cantik, cergas serta pandai melayani suaminya sehinggakan si suami hanya fokus pada Atikah dan meninggalkan segala urusan perdagangannya serta urusan lain.
🌻 Buktinya satu peristiwa telah berlaku dimana, mentuanya saidina Abu Bakr minta Abdullah untuk menceraikan Atikah kerana Abdullah tidak kelihatan pada solat jumaat itu.
🌻 Selepas penceraian itu, Abdullah berubah menjadi kurus dek kerana terlalu merindui isterinya maka Saidina Abu Bakr menyuruh untuk kembali rujuk kepada Atikah.
🌻 Abdullah memberi sebidang kebun kepada Atikah dengan syarat beliau tidak boleh mengahwini orang lain selain Abdullah, inilah ikatan Atikah sehingga ke hari seterusnya.
🌻 Selepas kematian Abdullah, Atikah setia memegang janjinya bersama Abdullah supaya tidak mengahwini orang lain, sehingga fatwa dikeluarkan barulah Atikah menerima lamaran Saidina Umar.
🌻 Tidak lama itu, Amirul Mukminin juga meninggal dibunuh. Selepas itu, Atikah menerima lamaran Zubair Al Awwam dan beberapa ketika juga sahabat nabi ini syahid ketika solat.
🌻 Habis iddahnya, beliau dilamar Saidina Ali tetapi beliau menolaknya kerana khuatir Saidina Ali juga bakal pergi meninggalkan dunia.
🌻 Selepas itu, Saidina Ali menyeru dan menyatakan kepada sesiapa yang inginkan syahid kahwinilah Atikah.
🌻 Akhirnya, Hussain cucu Rasulullah, menjadi suami terakhir Atikah.

“SISWI PROFESIONAL ISLAMI”

EXCO HAL EHWAL SISWI
SEKRETARIAT PUSAT ISLAM 2017/2018
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

ByMUHAMAD FITRI

Tindakan Kita Seharian Cerminan Identiti Muslim

Kedatangan tahun baru sudah pasti bersama-sama dengan keazaman yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Sudah pasti setiap individu juga sesebuah organisasi berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih baik bagi peribadi lebih-lebih lagi kepada organisasi. Usaha ini selari dengan sabda Rasulullah S.A.W :

“ Seseungguhnya orang yang paling Berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari yang semalam. “ ( Riwayat Bukhari dan Muslim ).

Sudah menjadi tradisi rakyat Malaysia meyambut kehadiran tahun baru Masihi dengan pelbagai acara yang meriah, namun sejauh manakah pemahaman kita dengan asal usul tahun masihi ini.

Kalendar ini dikenali dengan calendar Gregorian atau Kalendar Julius kerana dicipta oleh Father Gregory dan kemudian ditambah baik oleh Julius. Sebahagian besar nama-nama bulan adalah merujuk kepada nama-nama dewa yang disembah oleh masyarakat Rom dahulu sebagai contoh bulan Januari adalah nama dewa Janus yang bermaksud dewa pintu. Dewa ini digambarkan dengan sebuah patung yang berwajah dua di mana satu wajah menghadap ke belakang dengan berwajah suram dan wajah menghadap ke hadapan dengan berwajah senyum menandakan optimis untuk memasuki tahun baru.

Kalendar Hijriyah pula semakin kurang mendapat perhatian sejak digunakan Kalendar Masihi dalam urusan-urusan kita seharian. Kalendar Hijriyah mula diperkenalkan pada zaman Khilafah Umar al-Khattab iaitu sebanyak 12 bulan selari dengan Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 36 :

“ Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram ”.

Muharram dari segi Bahasa berasal dari perkataan ‘ harama ‘ yang bermaksud terlarang, merujuk kepada salah satu dari empat bulan yang dilarang berperang oleh umat Islam seperti Firman Allah yang disebutkan tadi.

Bulan Rabi’ yang dua pula bermaksud musim bunga menandakan keindahan dan kecantikan, dan yang terpenting ialah kelahiran junjungan besar nabi kita di bulan ini.

Bulan Rejab yang beerti kemulian menjadi bulan Rasulullah mula menambahkan amalan sebagai persiapan menemui bulan yang mulia iaitu Ramadhan. Manakala Ramadhan pula bermaksud ‘ kepanasan ‘ yang boleh digambarkan sebagai kepanasan yang membakar segala dosa dengan amalan puasa selama sebulan.

Oleh itu, sempena masuknya tahun baru 2018 ini janganlah kita terikut-ikut dengan rentak sambutan tahun baru masyarakat bukan Muslim kerana tindakan kita mencerminkan identiti kita sebagai seorang Muslim. Sudah pasti masyarakat bukan islam tidak akan menyambut tahun baru Hijriyyah bersama-sama dengan kita, jadi mengapa kita perlu menyambut awal tahun baru Masihi bersama-sama mereka?  Sabda Rasulullah S.A.W :

“ Barang siapa menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dari golongan mereka “ – Riwayat Ahmad

Mudah-mudahan tindakan kita dapat menjaga identiti dan sahsiah kita sebagai Muslim yang sebenar seperti yang dituntut oleh Islam.

Adaptasi dari teks Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Zainur Rijal bin Abd Razak, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah USIM

 

Disediakan oleh :

BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID

PUSAT ISLAM

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

06-7980256