Kronologi Pembinaan
Kompleks Islam USIM merupakan salah-satu bangunan utama dalam pelan awal kampus tetap USIM semasa pecah tanah kampus induk ini dibuat pada 2002.
Projek pembinaanya diluluskan dalam RMK8 oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Pengesahan arah kiblat dan pembangunan dimulakan dengan kerja tanah pada April 2002. Mengikut perancangan awal, keluasan bangunan ini adalah 7,576 meter persegi. Ia merupakan bangunan 3 tingkat dengan kemudahan berikut :
- Aras 1 : Dewan serbaguna, bilik-bilik aktiviti, pejabat pentadbiran dan bilik pengurusan jenazah
- Aras 2 : Ruang solat lelaki
- Aras 3: Ruang solat wanita
Pada April 2003, pembinaannya ditangguhkan apabila Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan penangguhan projek-projek yang belum memiliki Letter of Acceptance.
Semasa Kajian Separuh Penggal (Mid Term Review) RMK9, Kerajaan meluluskan RM 2 juta untuk kerja reka bentuk semula Kompleks Islam USIM sahaja.
USIM menerima khabar gembira apabila peruntukan pembinaan Kompleks Islam USIM diluluskan sebanyak RM 29 juta dalam RMK-10. Susulan peruntukan terkini ini, semakan semula kepada reka bentuk dibuat selari dengan kenaikan kos semasa. Keluasan di ubah dari 7,576 meter persegi kepada 6, 526 meter persegi. Ia juga menjadi bangunan dua tingkat berbanding tiga tingkat mengikut perancangan awal.
Kronologi Pembangunan
Majlis Pengesahan Semula Arah Kiblat Pusat Islam USIM telah diadakan pada 1 Jun 2014 oleh Pusat Islam USIM dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Sembilan yang diketuai oleh Ustaz Rashidi Isa, Pegawai Pejabat Mufti Negeri Sembilan. Secara prosedurnya sebarang projek pembinaan masjid yang terhenti melebihi tempoh dua tahun perlu untuk dibuat pengesahan semula arah kiblatnya oleh Pejabat Mufti. Projek pembangunannya bermula pada 2 Jun 2014 dengan kerja-kerja tanah. Tempoh pembinaan pada jangkaan awal ketika itu memakan masa selama 22 bulan dengan jangkaan siap pada April 2016.
Pengurusan Universiti sentiasa mengambil berat dengan memantau projek ini secara dekat dan melakukan lawatan berkala ke tapak projek ini. Kompleks Pusat Islam USIM akan merancakkan aktiviti dan agenda Islam di dalam kampus dan memberi manfaat kepada masyarakat Islam sekitar khususnya Nilai antaranya seperti menjadi masjid untuk Solat Jumaat, kuliah agama, kelas bimbingan Fardhu Ain, Kelas Pengajian al-Quran dan lain-lain lagi.
Kompleks Islam USIM mula menampakkan ‘wajahnya’ kepada warga kampus dan masyarakat sekitar. Penyerahan bangunan ini telah dibuat secara rasmi kepada Universiti pada 22 Mei 2017.
Ia mempunyai ruang solat utama (Aras 1) dan wanita (Aras 2) yang berkapasiti memuatkan 4000 jemaah pada satu-satu masa.
Kemudahan lain di Aras 1:
- Pejabat Pentadbiran
- Bilik Mesyuarat
- Bilik Imam
- Bilik VIP
- Bilik Pengurusan Jenazah
- Kaunter Zakat