Gambar sumber dari: http://tazkirahustazkazim.com/hati-rasa-tak-bersalah-bila-tinggalkan-solat/
Kejayaan di dunia dan akhirat merupakan nikmat besar yang diingini oleh setiap insan. Kunci utama untuk menggapai kejayaan adalah dengan penyucian jiwa.
Firman Allah SWT dalam surah al-Shams, 91: 7-10
“Demi jiwa manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya, Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya,”
Ayat di atas menceritakan tentang kesempurnaan penciptaan manusia dan diberikan pilihan untuk memilih samada kefasikan atau ketakwaan dan kejayaan bagi mereka yang bertakwa (iaitu golongan yang menyucikan diri mereka dari sifat-sifat mazmumah).
Antara sifat-sifat tercela (mazmumah):
- Takabbur: (Besar Diri)
- Ujub: (Bangga diri)
- Riyak: (Menunjuk-nunjuk)
- Hubb al-Mal (Cinta Harta)
- Hubb al-jah (Cinta Pangkat)
- Hubb al-shuhrah (Cinta Kemashuran )
- Tamak
- Hubb al-shahawat (Cinta Nafsu)
- Hasad Dengki
- Hubb al-dunya (Cinta Dunia)
Segala sifat ini perlu kepada proses pembersihan jiwa yang mana Allah SWT akan memberi kejayaan kepada mereka yang berusaha kearah perkara tersebut.Tanpa proses ini,manusia akan mudah tergoda oleh bisikan syaitan dan iblis pada melakukan kemungkaran.Inilah yang menjadi penyebab berlakunya gejala sosial dalam masyarakat.Contoh gejala sosial yang berlaku seperti memberi rasuah,memakan riba,penyelewangan harta.Semua ini juga disebabkan perasaan cinta akan harta dan dunia yang terlalu kuat.
Selain itu,antara kemungkaran yang berlaku ialah seperti jenayah membunuh,memfitnah,rogol,dan perzinaan yang memberi pandangan kepada kita tentang sifat2 buruk akibat kesan dari penyakit hati yang tidak dibersihkan dari jiwa manusia. Maka, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sungguh Allah telah mengurniakan (rahmatnya) kepada golongan yang beriman setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan (jiwa ) mereka (dari akhlak dan iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (kebijaksanaan) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (Al-Quran, Surah Al-Imran, 3: 164).
Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut berkenaan tugas Rasulullah SAW iaitu 1-membacakan ayat-ayat Allah SWT, 2-menyucikan jiwa mereka (yuzakkihim) dan 3-mengajarkan mereka tentang ilmu pengetahuan dari al-Kitab dan al-Hikmah.
Jelas daripada tiga perkara ini merupakan suatu pakej yang tidak boleh dipisahkan dan memerlukan seseorang individu untuk mempelajari pelbagai ilmu bagi memperolehi cara penyucian jiwa dalam kehidupan mereka. Apa yang dimaksudkan dengan hati yang bersih ialah bersih daripada sifat-sifat mazmumah yang tercela seperti yang telah disebutkan di atas.
Kesimpulannya :
- Setiap mukmin hendaklah menyedari bahawa penyucian jiwa merupakan satu tuntutan dalam Islam ke atas setiap individu.
- Setiap mukmin perlu melakukan muhasabah diri bagi mengenalpasti penyakit-penyakit hati yang ada dalam dirinya.
- Individu Muslim perlu sentiasa berusaha membersihkan jiwa dari segala penyakit hati yang ada melalui proses menuntut ilmu agama dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.
- Individu Muslim juga perlu sentiasa berdoa kepada Allah swt agar diberikan ketakwaan dan kesucian jiwa.
Adaptasi dari teks Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM
Disediakan oleh :
BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID
PUSAT ISLAM
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA
06-7980256