2500 Jemaah tunai solat Jumaat pertama di Kompleks Islam USIM

Byadmin

2500 Jemaah tunai solat Jumaat pertama di Kompleks Islam USIM

NILAI , 2 Jun 2017 – Kompleks Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) secara rasmi diberi kebenaran oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan untuk menjadi tempat menunaikan Solat Jumaat mulai Jumaat hari ini.

Teks pengisytiharan kebenaran solat Jumaat dari Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan tersebut dibacakan secara rasmi oleh Tuan Haji Nor Azamir Alias, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak Mufti Negeri Sembilan dalam satu majlis khas sebelum solat Jumaat bermula.

“Sehubungan dengan itu, kebenaran mendirikan Solat Jumaat di Surau Kolej Kediaman Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diberikan melalui surat bertarikh 25 Februari 2011 adalah ditarik balik” katanya.

Warga kampus USIM dan penduduk Islam sekitar USIM iaitu Taman Desa Anggerik, Desa Jati dan Taman Acacia Avenue sebelum ini mendirikan solat Jumaat di Surau Kolej Kediaman Satu USIM.

Majlis pengisytiharaan yang diadakan di ruang dewan solat utama Kompleks Islam USIM turut dihadiri oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato Dr Musa Ahmad; Pengurusan Kanan Universiti dan Pengarah Pusat Islam, Dr Khairul Anuar Muhamad Al Bakri; warga kampus USIM dan masyarakat sekitar.

Dengan perpindahan solat Jumaat ke lokasi baharu ini, ia memberi lebih keselesaan dengan pelbagai kemudahan yang disediakan selain dapat menampung kuantiti jemaah yang lebih ramai.

Naib Canselor USIM dalam ucapannya di majlis ini menyatakan Kompleks Islam USIM yang dilihat pada hari ini merupakan anugerah daripada Allah SWT sempena bulan mulia bulan Ramadan
Al-Mubarak.

“Penubuhan Kompleks Islam USIM ini in line atau sejajar dengan konsep yang telah dipersetujui oleh Pengurusan Universiti iaitu konsep Kampus Barakah”.

“Alhamdulillah, mercu tanda baharu universiti yang dinanti-nantikan oleh warga USIM mahupun alumni serta masyarakat setempat telah siap akhirnya berkat kesabaran selama tiga tahun menanti”.

“Satu kebetulan yang signifikan apabila 2 Jun 2014 adalah tarikh permulaan pembinaan Kompleks Islam USIM dan pada hari ini 2 Jun 2017, Kompleks Islam USIM mendapat pengisytiharan untuk solat Jumaat” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Almuni) USIM, Profesor Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan menjadi khatib pertama menyampaikan khutbah di sini dengan tajuk ‘Peranan Komples Islam USIM dalam Pembangunan Ummah’ manakala solat Jumaat diimamkan Pengarah Pusat Islam USIM yang disertai kira-kira 2500 jemaah.

Kompleks Islam USIM dibina dengan kos RM 20 juta melalui peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan di atas tanah seluas 6,500 meter persegi ini mampu memuatkan sekitar 4000 jemaah pada satu-satu masa.

Selain dewan solat utama, Kompleks Islam USIM turut meliputi dewan serbaguna, kafe, ruang niaga, bilik pengurusan jenazah, bilik serbaguna bagi aktiviti masak-memasak , kaunter zakat dan kemudahan lain yang dibangunkan secara berperingkat.

Telah mula digunakan secara rasmi pada Jumaat (26 Mei 2017) lalu sempena menyambut kedatangan 1 Ramadan dengan menunaikan solat tarawih bersama kira-kira 3600 jemaah.

Sempena bulan Ramadan ini juga, beberapa aktiviti bagi mengimarahkan bulan mulia ini telah mula berlangsung di Kompleks Islam USIM seperti majlis berbuka puasa harian dan tazkirah manakala pada 12 Jun nanti bersempena Nuzul Al-Quran, akan diadakan Majlis Khatam dan Berbuka Perdana USIM 2017.

About the author

admin administrator

Leave a Reply