عليكم بالجماعة

ByMUHAMAD FITRI

عليكم بالجماعة

Gambar sumber dari: https://malaysianaccess.com/arahan-solat-berjemaah-di-sekolah-kenapa-melayu-sendiri-lebih-sudu-dari-kuah/

Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.

 

Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.

 

Solat berjemaah sangat dituntut. Imam al-Bukhari dan Muslim pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

 

Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:

“Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.”

 

Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Antaranya, sabda Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud:

 

“Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

لَوْ يعْلمُ النَّاسُ مَا في النِّداءِ والصَّفِّ الأَولِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلاَّ أَنْ يسْتَهِموا علَيهِ لاسْتهموا علَيْهِ، ولوْ يعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِير لاسْتبَقوا إَليْهِ، ولَوْ يعْلَمُون مَا فِي العَتَمَةِ والصُّبْحِ لأتوهمُا ولَوْ حبوًا

“Sekiranya manusia itu mengetahui pahala menyahut seruan azan dan pahala pada sof pertama, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkan keduanya, dan sekiranya mereka mengetahui pahala orang yang bersegera mendatangi solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba untuk lebih awal, dan sekiranya mereka mengetahui pahala solat isya` dan solat subuh berjemaah, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang-alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.

 

وَأۡمُرۡ أَهۡلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصۡطَبِرۡ عَلَيۡہَا‌ۖ لَا نَسۡـَٔلُكَ رِزۡقً۬ا‌ۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكَ‌ۗ وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلتَّقۡوَىٰ (١٣٢)

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. kami tidak meminta rezeki kepadaMu, (bahkan) kamilah yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orangorang yang bertaqwa”.

 

Kesimpulannya pengajaran yang dapat diambil adalah:

  1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa semua perintah Allah dan Rasul itu perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
  2. Umat Islam wajiblah menunaikan kefardhuan solat kerana ia adalah merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT.
  3. Umat Islam hendaklah mengutamakan solat berjemaah kerana fadhilatnya cukup banyak dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT.

 

Adaptasi dari teks Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Dr Mohd Mahyeddin bin Mohd Salleh, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) USIM

 

Disediakan oleh :

 

BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID

PUSAT ISLAM

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

06-7980256

About the author

MUHAMAD FITRI administrator

Leave a Reply