Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan

ByMUHAMAD FITRI

Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan

Tahun 2017 sudah berlalu membawa pergi pelbagai kesilapan, kealpaan, kekurangan dan kekhilafan sama ada terhadap Allah dan juga kepada sesama manusia. Ayuh sama-sama berusaha memperbaikinya di tahun baru 2018 ini insyaAllah.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Mukmin ayat 40 :

“ Sesiapa yang mengerjakan kejahatan maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya, dan sesiapa yang mengerjakan amal salih dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga serta beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung. “

Di sepanjang tahun 2017 juga, pastinya banyak pencapaian-pencapaian dan kejayaan samada berbentuk peribadi mahupun organisasi. Namun begitu, semestinya akan tertinggal beberapa impian dan harapan yang belum tercapai.

Langkah pertama yang perlu diambil ialah menuntut ilmu dan menguasainya. Apabila wujudnya ilmu di dalam dada, akan terhasil lah kesediaan untuk melakukan pengorbanan dan kesanggupan untuk bekerja keras mengejar impian dan harapan.

Kita semua memasuki fasa tahun 2018 dengan penuh harapan dan impian besar yang meliputi pelbagai aspek kehidupan. Walaupun azam tahun baharu setiap individu itu berbeza mengikut kehendak dan impian masing-masing, namun secara keseluruhannya impian dan harapan kita khususnya sebagai umat Islam berlegar dalam isu-isu berkaitan peningkatan kos sara hidup, pendidikan anak-anak, kerjaya, kesihatan, kebajikan dan kehidupan sosial.

Isu-isu ini sering menghantui kehidupan anggota masyarakat khususnya mereka yang mempunyai pendapatan yang rendah dan sederhana.

“Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab untuk meleraikan isu ini dan apakah yang perlu lakukan dalam menghadapi semua ini? Jawapnnya adalah kita sendiri. Ya! Kita sendiri yang perlu memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi kerana ini adalah masalah kita. Masalah kita, kitalah yang harus bangkit untuk menyelesaikannya bukan orang lain. Kita seringkali merungut tentang kenaikan mendadak barang-barang keperluan. Kita sering mengadu tentang beban gst terhadap perbelanjaan harian, kita sering bercerita tentang perbelanjaan yang sudah kehabisan meskipun baru di pertengahan bulan. Tapi kita masih menghabiskan masa untuk bersembang, masih lagi leka di panggung wayang, masih terus lena dibuai mimpi walau azan sudah berkumandang, masih berwasap, ber’ig’ dan ber FB sehingga larut malam. Jika ini tabiat dan amalan, masakan masalah boleh diselesaikan?”

Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Tidak ada penyakit yang tidak boleh disembuhkan. Tidak ada kepayahan yang tidak ada pengakhiran. Asal saja kita serius mencari penyelesaian.

Allah SWT berfirman:

فإن مع العسر يسرا إن مع العسر يسرا

“Maka Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangannya.

Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangannya.”

 

Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda:

(إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يُنْزِلْ دَاءً إِلا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً عَلِمَهُ مَنْ عَلِمَهُ وَجَهِلَهُ مَنْ جَهِلَهُ)

“Sesungguhnya Allah SWT tidak menurunkan penyakit kecuali diturunkan bersama penyakit itu

penawarnya yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya dan tidak diketahui oleh

orang yang tidak mengetahuinya”

Dari kedua-dua sumber wahyu tadi, kita dapat memahami bahawa segala permasalahan samada penyakit atau musibah, kepayahan dan kesulitan pastinya ada jalan keluarnya. Namun segalanya harus diusahakan. Sesudah berusaha, bertawakkallah kepada Allah. Jangan mudah berputus asa andainya usaha kita belum lagi menghasilkan apa yang kita inginkan. Terus berusaha dan berusaha.

InsyaAllah, penyelesaian pasti akan ditemui. Firman Allah SWT :

Maksudnya: “Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya”.

Adaptasi dari teks Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Dr. Nik Rahim bin Nik Wajis, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM

 

Disediakan oleh :

BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID

PUSAT ISLAM

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

06-7980256

About the author

MUHAMAD FITRI administrator

Leave a Reply