Pakar perubatan bertunjangkan ajaran Islam

Byadmin

Pakar perubatan bertunjangkan ajaran Islam

NILAI: Menyedari keperluan untuk mewujudkan kumpulan pakar perubatan bertunjangkan ajaran Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memulakan program pengajian perubatan dan sains kesihatan melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).

Timbalan Dekan Akademik & Penyelidikan FPSK, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, berkata fakulti itu memulakan operasinya dengan pengambilan 29 pelajar perubatan pada tahun 2005 yang kini telah lulus sebagai doktor perubatan dan sedang berkhidmat di hospital di bawah Kementerian Kesihatan.

Katanya, FPSK baru-baru ini dianugerahkan akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia dan Majlis Perubatan Malaysia yang menjadi asas kepada hasrat untuk menawarkan program pengajian tahap lebih tinggi iaitu program Sarjana Sains Perubatan.

“Hasrat kami ialah untuk melahirkan pengamal perubatan yang mampu bertindak sebagai pemimpin ummah, justeru pengajian di FPSK diolah secara holistik untuk mencapai matlamat ini.

“Bakal doktor keluaran USIM dilatih bukan saja dalam bidang perubatan dan pembedahan, tetapi juga dalam pengajian Islam peringkat tinggi dengan kursus berteraskan al-Quran dan Sunnah yang diadun secara langsung sebagai sebahagian daripada kurikulum pengajian,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Mewujudkan kolaborasi

Kursus di FPSK merangkumi Hafalan Al-Quran, Hadith dan Sunnah Rasulullah, Bahasa Arab, Sejarah Perubatan Islam, Fiqh dan lain-lain.

Mengulas mengenai program Sarjana Sains Perubatan, Dr Rafidah Hanim berkata ia dimulakan tahun lalu secara mod teradun atau ‘mixed mode’ merangkumi sebanyak 30 peratus secara kerja kursus dan baki 70 peratus secara penyelidikan.

Katanya, pelajar perlu lulus 14 jam kredit yang merangkumi kursus wajib fakulti iaitu kursus Falsafah Sains Islam, Kaedah Kajian, Analisis Data, Etika penyelidikan, serta kursus Prosedur Saintifik dan Kemahiran Makmal.

“Baki jam kredit pelajar akan dipenuhi dengan kursus penulisan penyelidikan iaitu Tesis I, Tesis II dan Tesis III.

“Bagi mengukuhkan lagi program ini, FPSK juga telah mewujudkan kolaborasi dengan pelbagai institut penyelidikan perubatan di Malaysia bagi menyebarluaskan penyelidikan pelajar pascasiswazah,” katanya.

Mematuhi prinsip Islam

Dr Rafidah Hanim berkata, program Sarjana Perubatan itu diharap akan dapat melahirkan profesional perubatan yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang sains perubatan, selain dapat menyediakan perkhidmatan dan perundingan berkesan.

Katanya, pengamal perubatan dari USIM juga akan menjadi pemangkin kepada profesionalisme kedoktoran yang mematuhi prinsip dan nilai Islam, serta bertindak selaras dengan keperluan syarak.

“Doktor yang dilahirkan dari program ini juga diharapkan akan dapat mengadaptasikan teknologi terkini dalam amalan profesional mereka, selain akan terus meneroka kepakaran mereka dalam pelbagai bidang sains perubatan mengikut keperluan dan perkembangan semasa.

“Penawaran program sarjana perubatan ini juga diharap akan mampu menjadi penggerak visi FPSK untuk memartabatkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang perubatan dan sains kesihatan, sekali gus mengeluarkan graduan holistik yang mampu berkhidmat kepada masyarakat, negara dan umat manusia,” katanya.

INFO

Program Sarjana Sains Perubatan ini dibuka kepada pelajar dalam dan luar negara.

Ditawarkan dalam dua tempoh pengajian iaitu secara sepenuh masa dengan minimum empat semester, dan separuh masa dengan minimum lima semester.

Terdapat 6 opsyen untuk syarat kemasukan ke program sarjana ini, dan program sarjana lain di USIM.

1 tahun pengalaman kerja adalah bersamaan dengan 0.05 PNGK.

Syarat kemasukan ke program sarjana di USIM adalah:

1. Ijazah Sarjana Muda (dengan Kepujian) yang berkaitan, dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) minimum 2.75 dari Universiti

2. Ijazah Sarjana Muda (dengan Kepujian) yang berkaitan, yang diiktiraf oleh Senat dengan pencapaian seperti berikut:

(a) Jayyid, atau

(b) PNGK 2.75 / 4.00 dan ke atas, atau

(c) PNGK 3.50 / 5.00 dan ke atas, atau

(d) markah keseluruhan sebanyak 60 peratus dan ke atas

3. Ijazah Sarjana Muda yang berkaitan daripada Universiti atau mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Senat dengan gred berikut dan sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman kerja yang relevan selepas memperoleh:

(a) tahap Makbul, atau

(b) PNGK kurang daripada 2.75 / 4.00 tetapi lebih daripada 2.50 / 4.00, atau

(c) PNGK kurang daripada 3.50 / 5.00 tetapi lebih daripada 3.00 / 5.00, atau

(d) markah keseluruhan kurang daripada 60 peratustetapi lebih daripada 50 peratus

4. Kelayakan lain yang setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dan pengalaman kerja profesional yang berkaitan

5. Diploma Lanjutan berkaitan dengan PNGK 2.75 / 4.00 dan ke atas dari institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Senat dan dengan sekurang-kurangnya lima (5) tahun pengalaman kerja yang berkaitan; atau

6. Diploma Lanjutan berkaitan dengan PNGK 2.50 / 4.00 dan ke atas dari institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Senat dan dengan sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman kerja berkaitan.

Sumber : Berita Harian

About the author

admin administrator