Alumni USIM wakafkan keperluan di Kompleks Islam USIM

Byadmin

Alumni USIM wakafkan keperluan di Kompleks Islam USIM

NILAI, 22 Jun 2017 – Memanfaatkan ganjaran pahala berterusan dengan amalan berwakaf dan keberkatan pengakhiran Ramadan, sekumpulan alumni Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif mewakafkan beberapa keperluan ke Kompleks Islam USIM.

Sebanyak dua unit kerusi roda dan empat kipas tiang disumbangkan oleh wakil kumpulan alumni FST, Encik Mohd Syafaat Sapari kepada Pengarah Pusat Islam, Dr Khairul Anuar Muhammad pada Rabu. Majlis ringkas tetapi bermakna itu berlangsung di dewan solat utama dengan turut dihadiri Pengarah Pejabat Perhubungan Alumni dan Kerjaya USIM, Dr. Mohd Nisar Mohamad Ahmad.

“Dana yang kita kumpul untuk membeli sumbangan wakaf ini hasil daripada sumbangan sahabat-sahabat alumni FST. Kompleks Islam USIM ini dikunjungi oleh pelbagai latar belakang jemaah termasuk mereka yang kelainan upaya (OKU) dan uzur. Jadi disitu timbul idea untuk mewakafkan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan mereka semasa di sini selain membeli kipas bagi menambahkan keselesaan”.

“Idea ini disambut baik rakan alumni yang berkhidmat di USIM dan luar, Alhamdulillah dalam masa yang singkat kami dapat realisasikan sumbangan ini” ujar Syafaat yang bertugas sebagai Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Perangcangan Korporat dan Pengurusan Kualiti di USIM.

Bagi Dr. Nisar, beliau amat memuji keprihatinan yang ditunjukkan oleh alumni untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan di universiti dan sumbangan alumni FST ini salah-satu yang boleh dicontohi.

“Pejabat Perhubungan Alumni menjadi penghubung antara alumni dan universiti, justeru saya selaku Pengarah dan alumni USIM juga pastinya ingin melihat peranan dan kekuatan alumni yang kita miliki dapat dimanfaatkan. Malahan ia secocok dengan konsep Kampus Barakah yang kita ingin tonjolkan” katanya.

Pejabat Pusat Islam USIM dalam pada masa amat menghargai dan mengalu-alukan sumbangan yang diberikan oleh pelbagai pihak samada berbentuk kewangan dan fizikal untuk melengkapkan lagi kemudahan-kemudahan yang dapat dimanfaatkan secara bersama. Mampu memuatkan 4000 jemaah dan mendapat kebenaran menunaikan solat Jumaat oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Kompleks Islam USIM telah mula digunakan pada awal Ramadan ini setelah siap pembinaannya dengan kos RM 20 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

About the author

admin administrator

Leave a Reply